Minda Lestari : Pakar Alam Sekitar Tempatan Belum Ditauliah
Dato' Prof Ir Dr Zaini Ujang (Prof Alam Sekitar, NC UTM)
NAMPAKNYA tiada seorangpun di kalangan pelajar yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ketika ditemu bual media baru-baru ini, berminat menjadi pakar alam sekitar.
Kebanyakan bercita-cita menjadi doktor perubatan. Secara terbuka, saya dan rakan di kalangan ahli akademik dalam pelbagai bidang bukan perubatan agak kecewa dengan sikap dan perspektif kerjaya di kalangan pelajar cemerlang itu.
Namun saya sekali-kali tidak bermaksud menyalahkan mereka kerana sikap dan perspektif itu pastinya tercerna daripada persekitaran masyarakat yang meletakkan kerjaya dalam bidang perubatan sebagai paling prestij untuk pelajar cemerlang.
Sumbangan seorang doktor kepada masyarakat nampaknya lebih ketara. Kerjaya lain dianggap sebagai tidak menarik, apatah lagi berprestij untuk diceburi. Hakikatnya, bidang pengajian lain hanya menerima limpahan calon yang tidak dapat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan.
Hal ini begitu ketara dalam bidang pengurusan alam sekitar yang ketika ini adalah subbidang pengkhususan dalam disiplin kejuruteraan awam, kejuruteraan kimia, sains biologi dan kimia.
Di kebanyakan institusi pengajian tinggi awam, pelajar mengikuti pengajian kejuruteraan, sains dan pengurusan alam sekitar pada peringkat ijazah sarjana dan PhD selepas memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan kimia, sains biologi atau sains kimia, kecuali di Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan kursus sains alam sekitar dan sarjana muda kejuruteraan alam sekitar pula di Kolej Universiti Utara Malaysia (KUKUM) pada peringkat pengajian sarjana muda.
Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula menawarkan kursus ijazah integrasi sarjana muda kejuruteraan awam dan alam sekitar.
Banyak persoalan menjadi tanda tanya yang memerlukan penjelasan. Dalam situasi kita menghadapi pelbagai masalah pengurusan dan pencemaran alam sekitar, tidak ramai anak muda yang berminat turut membina kerjaya dalam bidang itu.
Dalam keadaan sumber air yang semakin pupus dan tercemar, nampaknya masih belum mendorong pelajar cemerlang untuk sama-sama melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran untuk menanganinya.
Dalam usaha kita membangunkan teknologi dan kejuruteraan alam sekitar yang lestari, apakah ada pelajar cemerlang yang prihatin untuk sama-sama berinovasi?
Pada hemat saya, satu daripada faktor utama masalah dan pencemaran alam sekitar berleluasa sejak kebelakangan ini ialah kurangnya modal insan berwibawa.
Masalah dan pencemaran ini perlu diselesaikan golongan profesional yang cukup terlatih dalam bidang kejuruteraan, sains dan pengurusan alam sekitar.
Hal ini semakin kritikal kerana masalah dan pencemaran alam sekitar juga semakin kompleks dan beraneka. Keprihatinan terhadap bahan cemar air yang ada kini tidak sama dengan bahan cemar 10 tahun lalu. Ketika ini pencemaran alam sekitar juga menyumbang kepada penghasilan pelbagai spesis kuman baru yang tahan antibiotik.
Bahan cemar baru dikeluarkan menerusi penghasilan pelbagai jenis produk pengguna seperti syampu, sabun, pewarna dan cat, bahan cuci pembunuh kuman, bahkan permainan kanak-kanak.
Kita memerlukan lebih ramai profesional dalam bidang kawalan pencemaran dari segi sistem rawatan kumbahan dan air sisa industri yang perlu dipertingkatkan untuk membolehkan bahan cemar ‘generasi baru’ disingkirkan sebelum efluen dilepaskan ke sungai.
Kajian dilakukan di Jepun dan Jerman menunjukkan teknologi rawatan kumbahan yang konvensional (penyingkiran bahan organik dan nutrien) tidak berupaya menyingkirkan bahan cemar baru khususnya yang memberi kesan kepada keseimbangan endokrin dalam tubuh manusia (EDC).
Hal sama perlu dilakukan juga kepada teknologi rawatan air minuman yang ketika ini menggunakan air mentah yang semakin tercemar. Pencemaran itu tidak saja disebabkan pelbagai kegiatan pertanian dan perindustrian di hulu kawasan tadahan, malah perumahan yang melepaskan pelbagai bahan cemar terkandung dalam bahan pencuci, sabun, cat dan sebagainya masuk ke dalam ekosistem air .
Ketika ini, pembangunan modal insan dalam bidang pengurusan alam sekitar masih belum mantap di Malaysia. Selain kurangnya pelajar cemerlang terbabit dalam bidang ini menerusi program akademik di institusi pengajian tinggi, sistem pengurusan alam sekitar juga masih belum ada badan profesional tersendiri yang ada status dari segi perundangan untuk tujuan pentauliahan.
Hampir semua jurutera profesional yang terbabit dalam bidang pengurusan alam sekitar adalah jurutera awam, jurutera kimia atau jurutera mekanikal, bukannya jurutera alam sekitar seperti amalan negara maju.
Di Britain sebagai contoh, sebahagian besar profesional alam sekitar adalah ahli Chartered Institute of Water and Environmental Management (CIWEM), sama ada jurutera bertauliah (C.Eng), saintis bertauliah (C.Sci) atau pengurus bertauliah (C.Env).
Menerusi badan profesional ini, kelayakan dan kemahiran profesional dipantau dan dipertingkat dengan amalan serta kemahiran terkini. Badan profesional itu juga berperanan menetapkan piawaian kemahiran dan latihan kepada golongan separa profesional yang menjadi juruteknik dan operator loji rawatan kumbahan, tapak pelupusan dan pemantauan kualiti.
Amalan ini belum berlaku di Malaysia, walaupun pada pertengahan 1990-an diwujudkan Pendaftaran Profesional Alam Sekitar Malaysia (EPRM), tetapi tidak ada status pentaulihan dari segi perundangan.
Pada hemat saya, hal ini adalah satu daripada sebab kerjaya pengurusan alam sekitar belum menyerlah dan dimaklumi pelbagai pihak, termasuk di kalangan pelajar cemerlang. Ia juga menjadi faktor menyebabkan banyak kemudahan kawalan alam sekitar tidak diselenggara dengan baik.